Tuesday, April 26, 2011

Nota Titas Bab 8.

8.0 Islam Hadhari dan Proses Pembangunan Negara.
8.1  Konsep Islam Hadhari.
Merupakan suatu aspek dalam kehidupan Islam atau penghayatan Islam yang syumul. Aspek Hadhari merupakan satu bidang yang perlu ditekankan oleh masyarakat Islam termasuklah sudut Aqidah. Ibadah Khusus. Perundangan dan lain-lain. la seharusnya menumpukan pembangunan masyarakat ke arah peningkatan mutu kehidupan darisudut keilmuan, pembangunan fizikal, ekonomi dan kewangan, kesihatan dan lain-lain lagi. 
Islam menekankan konsep kehidupan yang cemerlang dan bermulu, kehidupan yang seimbang, pembangunan menjurus kepada pembinaan pcradaban serta memenuhi tuntutan rohani. 
Ibnu Khaldun menggunakan istilah "Umrun Hadhari", bagi menjelaskan pembinaan peradaban yang baru. Beliau telah membanding dan membezakan masyarakat nomad yang sering berpindah-randah dengan masyarakat bandar yang menetap tinggal di suatu tempat dan membina sebuah peradaban. 
“Hadhari” diterjemahkan sebagai kemajuan peradaban. Begitu juga pemikir Aljazair iaitu Malik Bennabi yang cenderung menggunakan istilah "hadhara" yang dianggap hampir kepada maksud keseimbangan kemajuan antara aspek material dengan akhlak spiritual. 
Justeru "Islam Hadhari" ditakrifkan sebagai Islam yang mempunyai sifat-sifat kemajuan peradaban: lawannya ialah "Islam Raj’i " iaitu Islam yang mempunyai sifat-sifat kemunduran. Dalam ertikata lain, Islam datang bersama sifat-sifatnya yang positif: Islam itu adil, Islam itu syumul. Islam itu aman, Islam itu sejahtera, Islam itu kasih sayang, Islam itu Hadhari, dan sebagainya.

8.2 PENDEKATAN ISLAM HADHARI
Kerajaan telah merangka pelbagai agenda pembangunan yang selaras dengan tuntutan  Islam melalui pendekatan seimbang dalam aspek-aspek spiritual, ekonomi, pendidikan,  kemasyarakatan, undang-undang dan sebagainya. Kerajaan menyedari bahawa Islam  bukanlah suatu agama bersifat ritual semata-mata, tetapi agama yang bersifat praktikal  iaitu diturunkan untuk mengatur kehidupan masyarakat secara realistik. Dengan itu,  suatu pendekatan  yang dikenali sebagai Islam Hadhari telah diperkenalkan untuk  membangkitkan kesedaran baru kepada masyarakat terhadap konsep sebenar ajaran  Islam, dengan harapan akan dapat memacu pembangunan ummah dan negara.   Pendekatan Islam Hadhari bukanlah ajaran baru atau mazhab baru, tetapi merupakan  usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas menurut al-Quran dan as-Sunnah  sebagai teras pembinaan tamadun Islam. Islam Hadhari merupakan suatu pendekatan  anjakan paradigma untuk mengubah persepsi ummah terhadap ajaran Islam, sebagaimana yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Islam Hadhari tidak  sedikitpun mengurangkan prinsip-prinsip akidah dan  syariat dalam ajaran Islam, malah  menekankan penghayatan Islam yang syumul, menyeluruh dan realistik bagi  menterjemahkan agama dalam kehidupan. Pendekatan Islam Hadhari akan membuktikan bahawa ajaran Islam dapat mendorong penganutnya menjadi umat yang  maju bagi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.Pendekatan Islam Hadhari memberi penekanan kepada aspek pembangunan dan pembinaan peradaban yang didasarkan pandangan semesta Islam (Islamic world view)  dengan memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui  penguasaan ilmu, pembangunan insan serta pembangunan fizikal. Warisan tamadun  Islam yang memperlihatkan kegemilangan umat Islam dalam semua bidang akan  dijadikan dorongan bagi memajukan ummah secara menyeluruh. Beberapa prinsip Islam Hadhari dirangka bagi merangsang ke arah perubahan minda  umat Islam secara menyeluruh dan sistematik yang tidak bersifat sektor atau partisan,  yang sudah semestinya memerlukan satu perubahan pandangan global umat Islam.  Selaras dengan itu, konsep hidup sebagai pengabdian kepada Tuhan dan konsep kerja sebagai ibadah, manusia sebagai khalifah dan kewajipan mencapai kekuatan dalam semua bidang kehidupan akan ditekankan, khususnya dalam memenuhi prinsip-prinsip  Maqasid Al-Syariah yang sentiasa berkembang seperti menjaga, memartabat dan memperkasa; AGAMA , AKAL , NYAWA, HARTA,KETURUNAN, MARUAH dan INSTITUSI KELUARGA
8.3 DEFINISI  ISLAM HADHARI.
Dari segi istilah, perkataan "hadhari" membawa maksud "yang bertamadun" atau Islam yang menekankan aspek tamadun. Dalam bahasa Inggeris disebut sebagai " Civilizational Islam", dan dalam Bahasa Arab sebagai "al-Islam al-Hadhari". 
Manakala takrif Islam Hadhari secara lengkap ialah: "Suatu pendekatan pembangunan manusia, masyarakat dan negara Malaysia yang bersifat menyeluruh, berdasarkan kepada perspektif tamadun Islam". 
Sebagai huraian kepada takrif di atas bahawa;
i. Pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan kerana ia lebih lengkap dan menyeluruh berbanding pendekatan Islam secara juzi'e atau terpisah-pisah seperti Islam bersifat politik "al-Islam al-Siyasi", Islam bersifat tasawwuf "al-Islam al-Sufi" dan seumpamanya.
ii. Islam Hadhari membawa maksud ajaran Islam yang  membawa fokus kepada kehidupan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat bertamadun dan mempunyai peradaban yang unggul bagi menghadapi cabaran alaf baru seperti ledakan teknologi maklumat, dunia tanpa sempadan, ekonomi global, budaya materialisme, krisis identiti, jati diri serta penjajahan pemikiran. 
iii. Pendekatan Islam Hadhari, tidak menolak pentingnya aspek ritual dalam pembinaan tamadun. Ini kerana pandangan hidup, sistem nilai, kestabilan jiwa dan kemajuan rohaniah merupakan tonggak kepada pembinaan tamadun yang luhur. 
VISI : Visi Islam Hadhari adalah Untuk Menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam  Contoh, iaitu sebuah negara maju mengikut acuan sendiri. Konsepnya ialah negara yang  mempunyai masyarakat membangun dan memiliki ilmu, berkemahiran dan  berketrampilan serta tergambar sebagai golongan yang berakhlak, berbudi dan  berbudaya yang berpaksikan kepada kepercayaan Agama. 
MISI : Melaksanakan agenda pembangunan negara dan ummah berlandaskan pendekatan Islam yang universal, maju, bertamadun, bertoleransi dan berimbang.
OBJEKTIF : Objektif Islam Hadhari adalah bagi melahirkan individu dan masyarakat Islam  yang mempunyai kekuatan spiritual (rohani), akhlak, intelektual, material, mampu berdikari, berdaya saing, melihat ke hadapan, inovatif serta cekap menangani cabarancabaran semasa secara bijaksana, rasional, praktikal dan damai.
8.4  PRINSIP-PRINSIP ASAS ISLAM HADHARI
Prinsip-prinsip asas Islam Hadhari adalah seperti berikut; 
• Keimanan dan Ketaqwaan Kepada Allah 
• Kerajaan Adil dan Beramanah 
• Rakyat Berjiwa Merdeka 
• Penguasaan Ilmu Pengetahuan 
• Pembangunan Ekonomi Seimbang dan Komprehensif 
• Kehidupan Berkualiti 
• Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita 
• Keutuhan Budaya dan Moral 
• Pemuliharaan Alam Semulajadi 
• Kekuatan Pertahanan 


Gabungan prinsip-prinsip di atas adalah dirangka menurut acuan yang diadunkan supaya amalan dan pendekatannya tidak akan menimbulkan salah faham dan kebimbangan kepada mana-mana pihak dalam sebuah negara yang komposisi rakyatnya berbilang agama dan berbilang kaum. Pendekatan ini juga adalah untuk memperkasa umat Islam supaya berupaya menghadapi cabaran dunia semasa.  Perincian kepada prinsip-prinsip di atas adalah seperti berikut;

 
i. Keimanan Dan Ketaqwaan Kepada Allah
Bagi orang Islam pendekatan Islam Hadhari meletakkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sebagai teras utamanya. Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w sebagai teras pegangan dan mjukannya. Gabungan kemantapan akidah (kepercayaan), syariah (perundangan), akhlak, moral dan nilai-nilai murni  adalah teras perancangan dan pelaksanaan pembangunan diri dan pengurusan sistem  untuk mencapai umat yang berkualiti dan negara yang cemerlang. Ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t dalam
surah al-A'raaf: 96, 
Terjemahan: Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu,  beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka  kepada mereka (pintu pengurniaan) Yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu  Kami timpakan mereka Dengan azab seksa disebabkan apa Yang mereka telah usahakan. (surah al A’raf:96 ).
Pada prinsipnya penentuan pegangan agama atau akidah bagi mereka yang berada di luar Islam terbahagi kepada dua iaitu tiada paksaan dalam agama dan kebebasan dalam menganut agama masing-masing seperti firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah: 256, 
Terjemahan: Tidak ada paksaan Dalam ugama (Islam),  kerana Sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa Yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka Sesungguhnya ia telah berpegang kepada  simpulan (tali agama) Yang teguh Yang tidak akan putus. dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (surah al - Baqarah:256 ).
Dalam surah al-Kafirun: 6, 
   Terjemahan: "Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku". (surah alKafirun:6).


ii. Kerajaan Adil Dan Beramanah


Adil adalah memberi yang hak kepada yang berhak akan haknya, mengikut kadar masing-masing. Ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t dalam surah an-Nahl: 90, 
Terjemahan: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan Yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya. (surah alNahl:90).
Pelaksanaan keadilan tidak melihat pada keturunan, warna kulit, bangsa, kedudukan, miskin kaya atau perbezaan agama. Ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t dalam surah al-Maa'idah: 8, 
Terjemahan: Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang Yang menegakkan keadilan kerana Allah,  lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali  kebencian kamu  terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan  keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah,  Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan mendalam  akan apa Yang kamu lakukan. (surah al Maidah:8).
Hadis Nabi SAW, di riwayatkan oleh Bukhari 
Maksudnya: "Sekiranya (anakku) Fatimah mencuri nescaya aku akan memotong tangannya". 
Amanah pula bermaksud menunaikan segala tanggungjawab dan kewajipan yang  diletakkan ke atasnya iaitu bersesuaian dengan firman Allah s.w.t dalam surah anNisa':58, 
Terjemahan: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan  Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan  apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (surah al Nisa’:58 ).
Dan hadis Nabi SAW, yang diriwayatkan oleh Ahmad maksudnya: 
"Dan tidak beriman bagi seseorang yang tidak amanah". 
Islam Hadhari meletakkan amalan tadbir urus yang baik (good governance) dan adil  serta amanah kepada semua lapisan rakyat. Pengurusan negara yang cekap, adil,amanah (tidak boros dan perbelanjaan berhemah) melahirkan negara yang baik, maju  dan dirahmati Allah s.w.t sebagaimana ditegaskan dalam surah Saba': 15, 
Terjemahan: Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba',  satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) Yang  terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang Luas lagi subur), Yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri  (kampung mereka). (lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadanya; (negeri kamu ini adalah) negeri Yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun!. (surah al Saba’:15).


iii. Rakyat Berjiwa Merdeka


Salah satu prinsip utama pendekatan Islam Hadhari ialah mewujudkan rakyat yang  berjiwa merdeka. Antara ciri jiwa merdeka ialah berfikiran kreatif dan inovatif.  Masyarakat yang berjiwa merdeka dapat melahirkan buah fikiran yang dinamik dan positif sehingga mampu melahirkan idea-idea baru yang bermanfaat bagi memartabatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Ini selaras dengan firman Allah s.w.t dalam al-Quran surah al-Isra': 70,
Terjemahan: Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan  anak-anak  Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda Yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka Dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk Yang telah Kami ciptakan. (surah al Isra’:70).
Masyarakat hendaklah mengatasi belenggu pemikiran yang terjajah, bersikap terbuka  kepada kemajuan dan perubahan orang lain, tidak bersikap jumud dalam menghasilkan pemikiran berdaya maju dan menolak amalan-amalan negatif yang boleh menyebabkan jiwa terus terbelenggu.Masyarakat yang berjiwa merdeka bukanlah masyarakat yang terlepas daripada peraturan undang-undang dan etika, sebaliknya asas-asas murni itu hendaklah digunakan sebagai landasan membangunkan masyarakat  dan negara yang teguh dan utuh. Setiap anggota masyarakat harus digerakkan potensinya sebijaksana mungkin sehingga mampu memartabatkan jatidiri, imej keluarga, integriti masyarakat, keutuhan negara berasaskan patriotisme yang tinggi dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Jiwa merdeka harus mampu melakukan pilihan dan membuat saringan serta bersikap terbuka terhadap faktor dari luar lingkungan budaya dan tradisi yang tidak bercanggah dengan nilai etika dan sejagat yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan tamadun mengikut acuan kita sendiri. Makna jiwa merdeka bukan hanya terletak pada slogan atau pernyataan luaran sematamata tetapi lebih daripada itu menuntut pengorbanan dan keperluan bekerja bersungguh-sungguh ke arah menyumbang dan membangunkan negara. 

iv. Penguasaan Ilmu Pengetahuan

Kemampuan menguasai ilmu pengetahuan secara bersepadu boleh menjadikan kita  memiliki kekuatan pengetahuan yang pelbagai dan semasa supaya kecemerlangan intelektual dapat dikembangkan, kekuatan peribadi dapat ditampilkan dan ketangkasan jasmani dapat dibangunkan. Proses ini perlu bagi melahirkan insan seimbang dan harmonis seperti yang terdapat dalam matlamat Falsafah Pendidikan Negara kita. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t dalam al-Quran surah al-Mujadalah: 11,
Terjemahan: Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan  ugama (dari kalangan kamu) -beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan. (surah al Mujadalah:11).
Dalam mana-mana sejarah masyarakat yang maju dan bertamadun ianya tidak akan berlaku tanpa menjadikan ilmu sebagai sumbernya. Tamadun Baghdad dan Tamadun Andalusia menjadi contoh nyata bagaimana ilmu yang bersepadu mampu menyumbang ke arah pembangunan tamadun Barat dan Timur.  Dalam menghadapi cabaran globalisasi dan cabaran semasa, faktor ilmu bersepadu, kemajuan sains dan teknologi sewajarnya menjadi fokus bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan ketrampilan tetapi juga memiliki nilainilai murni yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan negara, bangsa dan  manusia sejagat. Melalui pengukuhan ilmu fardu ain  yang dilengkapkan dengan  penguasaan ilmu fardu kifayah, hasrat untuk mencapai kecemerlangan terbuka luas. Melalui sistem pendidikan yang melengkapi dwi pengkhususan dan double major, kita boleh melahirkan sumber tenaga yang mampu menerajui program pembangunan negara dan ummah.  Usaha penggalian dan penerokaan serta penemuan ilmu dan teknologi amat digalakkan dalam tradisi Islam. Amat disedari umat Islam ketinggalan dalam penguasaan sains dan  teknologi pada masa kini. Sewajarnya usaha pengkajian dan penyelidikan (tadabbur) dijadikan matlamat keilmuan supaya asas pembangunan intelek, rohani dan jasmani dapat berlaku secara seimbang, menyeluruh dan teratur. Ini bertepatan dengan firman
Allah s.w.t dalam surah ali-'Imran: 190, 
Terjemahan: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan,kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal; (surah ali Imran:190).

V. Pembangunan Ekonomi Seimbang Dan Komprehensif 

Dalam usaha untuk memajukan negara, aspek ekonomi turut sama diberi keutamaan  oleh Islam. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif memberikan satu pendekatan yang menggabungkan kepada usaha memantapkan amalan ekonomi yang berakhlak dengan kemampuan melaksanakan aktiviti ekonomi secara berkesan sesuai dengan perkembangan ekonomi di dalam negara dan di  peringkat antarabangsa. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t dalam surah al-Jumu'ah: 10, 
Terjemahan: Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa Yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya
(di dunia dan di Akhirat). (surah al Jumu’ah:10).
Untuk menjayakan pendekatan tersebut, pihak kerajaan dan sektor swasta perlu samasama berperanan secara bersepadu. Ini sudah pun diberi penekanan dalam konsep pensyarikatan Malaysia. Islam Hadhari menuntut setiap masyarakat Islam merebut peluang untuk memaju pencapaian ekonomi mereka.  Usaha-usaha untuk memantapkan keadilan dan kestabilan ekonomi di dalam negara akan terus diberi keutamaan. Melalui strategi pembasmian kemiskinan, mencapai guna tenaga penuh, kestabilan paras harga dan pertumbuhan ekonomi yang mapan, keadilan dan kestabilan ekonomi akan dapat dicapai. Bahkan strategi tersebut menepati aspirasi Islam Hadhari.  Melalui strategi tersebut negara mampu mengembeling kesemua tenaga rakyat semoga mereka dapat berprestasi di peringkat optimum. Dalam rangka yang sama pendekatan Islam Hadhari akan terus berusaha untuk meningkat kecekapan sistem penyampaian sektor awam dan prestasi sektor swasta. Justeru itu mutu sistem pendidikan dan Institusi Latihan Negara perlu sentiasa dipertingkatkan semoga kesemua aspek keperluan tersebut dapat dibekalkan kepada rakyat. Dalam suasana ekonomi dunia yang sangat mencabar dan tidak menentu, perancangan dan dasar ekonomi yang digubal perlu sensitif kepada perkembangan tersebut. Walaupun sektor pembuatan dan perkhidmatan menyumbang secara besar-besaran kepada pertumbuhan ekonomi negara, demi keselamatan negara, sektor pertanian akan turut diberi perhatian yang sewajarnya. Pembekalan  kepada makanan asasi rakyat, sesuatu yang dituntut oleh Islam. Melalui kemajuan bidang sains bioteknologi, negara akan berusaha untuk memaju sektor pertanian dengan teknologi tersebut.  Jelas sekali bahawa pendekatan Islam Hadhari adalah suatu pendekatan yang komprehensif di mana pencapaian pembangunan ekonomi, negara mampu menjana kepada wujudnya sebuah masyarakat yang bertamadun dan progresif. 

vi. KEHIDUPAN BERKUALITI

Islam pada permulaannya memberi tumpuan yang penting kepada pencapaian kehidupan masyarakat secara berkualiti. Mencapai tahap kehidupan yang tinggi dalam kesemua aspek keperluan adalah matlamat utama agama. Bahkan Islam menuntut semoga setiap individu berusaha menguasai ilmu dan kemampuan untuk berjaya dalam kehidupan di dunia. Kehidupan akhirat adalah hasil  daripada kemampuan individu melaksanakan kehidupan yang berkualiti dari kesemua aspek termasuk aspek kerohanian, fizikal dan material. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t dalam alQuran surah al-Qasas:
Terjemahan: "Dan tuntutlah Dengan harta kekayaan Yang telah  dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada  hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya Yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orangorang Yang berbuat kerosakan ". (surah al Qasas:77).
Kehidupan berkualiti akan dicapai melalui kejayaan  negara memenuhi keperluan kehidupan asasi seperti memelihara amalan beragama, kemampuan memajukan taraf pendidikan, menghayati kehidupan yang aman, hak memiliki harta dan jaminan kepada generasi masa hadapan yang cemerlang. Bermula dengan pencapaian keperluan asasi tersebut kualiti kehidupan mengikut Islam tidak bersifat statik, malah usaha untuk meningkat maju dalam kesemua aspek tersebut perlu diusaha dan dijayakan dari semasa ke semasa semoga tahap pencapaian setanding dengan masyarakat yang maju di dunia.  Di samping itu, Islam memberi keutamaan kepada insitusi keluarga. Keluarga yang sejahtera akan menjamin kepada lahirnya generasi yang seimbang dan berprestasi. Bahkan gejala sosial masyarakat dapat dikurangkan jika setiap institusi keluarga dapat berfungsi dengan berkesan. 
Dalam konteks mencapai kehidupan yang berkualiti, kemudahan persekitaran turut diberi perhatian. Tempat rekreasi dan kemudahan beriadah turut sama difikir perlu dalam membina masyarakat yang sihat dan bertenaga. Dari pendekatan Islam Hadhari, kita dapati bahawa kualiti hidup masyarakat dari kesemua aspek akan dibangunkan secara bersepadu. 

vii. PEMBELAAN HAK KUMPULAN MINORITI DAN WANITA


Pendekatan pendidikan Islam Hadhari memberi kemuliaan insan itu kepada setiap individu tanpa diskriminasi, sama ada sebagai kumpulan majoriti atau minoriti. Hak-hak mereka dijamin oleh undang-undang negara. Jaminan tersebut meliputi nyawa, agama, harta, kehormatan dan akal. Dalam Islam ia terkandung dalam Maqasid as-Syariah. Oleh itu tidak boleh berlaku penafian hak-hak tersebut atau alasan menjadi kumpulan kecil atau perbezaan jantina. Penafian dan halangan ke atas hak-hak tersebut adalah salah dari segi undang-undang. Ini selaras dengan firman Allah s.w.t dalam al-Quran surah alHujuraat: 13,
Terjemahan: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). (surah al Hujurat:13).
Jaminan ke atas hak-hak tersebut terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. la terdapat dalam Bahagian Kedua Perlembagaan yang membuat peruntukan mengenai kebebasan asasi (Fundamental Liberties).  Implikasi daripada jaminan tersebut meletakkan kumpulan minoriti dan wanita dapat menikmati apa jua yang dinikmati oleh kumpulan majoriti dan lelaki. Mereka berhak untuk turut sama dalam pembangunan negara dan menikmati apa jua yang dinikmati oleh kaum-kaum lain. Mereka boleh menyertai dalam pentadbiran negara, aktiviti ekonomi, sosial, pendidikan, agama dan politik. Isu mengenai hak-hak wanita telah diberi perhatian yang khusus oleh kerajaan dalam menggubal dasar negara seperti termaktub dalam Dasar Wanita Negara. 
Rasulullah s.a.w telah juga menyebut dengan jelas tentang wanita sejak mula hingga ke akhir hayat baginda dengan peringatan khusus semasa mengerjakan Haji Wida' (Haji Perpisahan) dengan sabdanya yang telah diriwayatkan oleh Muslim, maksudnya:
"Maka bertaqwalah kamu kepada Allah terhadap wanita kerana sesungguhnya kamu mengambil mereka adalah kerana Allah dan Allah menghalalkan kepada kamu mencampuri mereka dengan ijab kabul yang sah sesuai dengan aturan Allah dan hak suami terhadap isterinya ialah agar mereka tidak membiarkan orang luar yang dibenci oleh suami berkunjung ke rumahnya. Sekiranya mereka melakukan demikian, ajarlah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Manakala bagi mereka (wanita) ke atas kamu (lelaki) pula ialah memberikan mereka rezeki (makanan) dan perhiasan/pakaian dengan car a yang baik. Dan telah aku tinggalkan kepada kamu suatu yang tidak akan menyesatkan kamu selepasnya sekiranya kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Quran)". 
Realiti yang berlaku di negara kita sejak negara mencapai kemerdekaan sampai ke hari ini menunjukkan setiap kaum dan bangsa tidak dinafikan hak-hak mereka, bahkan dalam beberapa perkara diberikan perlindungan dan jaminan melalui undang-undang negara.  Di negara kita seperti juga di kebanyakan negara-negara lain bagi menjamin hak-hak seseorang dan kumpulan itu tidak dinafikan. Kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Kerajaan juga telah menerima Deklarasi Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDHR), beberapa teriti dan kemanusiaan lain, termasuk mengenai wanita. Bahkan dalam beberapa aspek kedudukan wanita di negara ini jauh lebih baik berbanding di sesetengah negara Islam. Ada undang-undang yang menjamin hak-hak mereka dan kesatuan yang menguruskannya. Mereka boleh terlibat dalam semua sektor pekerjaan dan perkhidmatan yang tidak menyalahi undang-undang negara dan penyertaan dalam pembangunan negara.  Bagi menjamin hak-hak tersebut dihormati dan tidak  dicabuli, terdapat badan-badan yang mengawasi termasuk mahkamah-mahkamah diberi kuasa dan bebas untuk membicarakan isu menyalahi hak-hak apabila berlaku pertikaian.  Dalam beberapa penulisan barat menimbulkan isu bahawa Islam tidak memberi perhatian dan kedudukan wajar kepada bukan Islam dan wanita. Sebenarnya hak-hak asasi sepatutnya diperjelaskan meliputi golongan bukan Islam dan semua kaum serta jantina. Dalam sejarah pemerintahan Islam orang bukan Islam diberi kedudukan dalam pemerintahan dan hak-hak mereka tidak dinafikan. Kebebasan beragama diberikan bagi menjamin penghayatan dalam pembangunan negara dan perkhidmatan, mereka diberikan hak sehingga menjawat jawatan menteri dan pegawai kanan kerajaan. Sejarah membuktikan orang bukan Islam begitu senang berada di bawah pemerintahan Islam kerana hak-hak mereka terjamin dan kerajaan berlaku adil ke atas mereka. Keadaan yang sama dapat disaksikan  berlaku di negara kita. Islam ditegakkan di atas prinsip-prinsip yang jitu  serta adil, saksama, amanah dan bertanggungjawab kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa, keturunan dan fahaman agama, tidak memandang rendah mana-mana golongan. Hak -hak mereka dilindungi oleh undang-undang dan apabila timbul pertikaian ia boleh diselesaikan oleh mahkamah atau badan seumpamanya.  Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t dalam surah al-Nisa': 58,
Terjemahan: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (surah al Nisa’:58 ).


viii. Keutuhan Budaya Dan Moral

Satu daripada prinsip ketamadunan sesuatu bangsa dan negara ialah wujudnya keutuhan budaya dan ketinggian akhlak sebagai identiti negara tersebut. Dalam rangka meningkatkan kemajuan negara Malaysia, kepelbagaian budaya dan agama perlu dipertahankan berasaskan sistem nilai dan akhlak yang kukuh, murni dan luhur. Penghayatan nilai-nilai akhlak yang mutlak dan tinggi akan menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat majmuk. la juga akan menjadikan bangsa itu terhormat dan disegani. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t dalam surah al-Mukminun: 1-2,
Terjemahan: Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman, Iaitu  mereka Yang khusyuk Dalam sembahyangnya; (surah al Mu’minun:1-2).
Dengan demikian, kemajuan ekonomi dan teknologi akan berjalan seiring dengan keluhuran budaya dan ketinggian akhlak masyarakat berbilang kaum. Namun, gejala keruntuhan akhlak, kelemahan budaya integriti dan budaya ilmu dalam masyarakat Malaysia semasa, merupakan suatu cabaran besar kepada pelaksanaan pendekatan Islam Hadhari. Dari perspektif tamadun dan agama Islam, kemajuan ekonomi dan ilmu sesuatu bangsa harus dijiwai oleh budaya moral dan etika yang luhur. Matlamat ini tidak akan dapat dicapai selagi kemajuan kebendaan diasingkan daripada nilai-nilai moral, etika dan kerohanian yang luhur. Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun dan Empayar Romawi yang begitu hebat telah runtuh dan ditelan zaman akibat daripada kepincangan moral yang parah dalam masyarakat dan negara.  Aspek kesenian dalam memperkasakan budaya harus seiring dengan nilai-nilai murni yang berasaskan keluhuran dan kreativiti yang menyumbang ke arah kebudayaan tinggi (high culture).

ix. PEMULIHARAAN ALAM SEMULAJADI


Kehidupan manusia tidak terbatas hanya kepada hubungan sesama manusia, tetapi juga hubungan manusia dengan alam persekitaran. Kesejahteraan yang dinikmati oleh manusia adalah akibat daripada kehidupan yang sejahtera antara sesama manusia dengan alam tabii. Dalam proses pembangunan, manusia mempunyai kecenderungan untuk menguasai dan mengekploitasi alam tabii secara berlebihan dengan menggunakan sains dan teknologi. Natijahnya, keseimbangan alam semula jadi tidak dapat dikekalkan. Peristiwa tanah runtuh, banjir kilat, pemanasan global, gempa bumi, gelombang besar, hujan asid, pencemaran alam sekitar dan sebagainya semuanya menyumbang kepada ketidakstabilan eko-sistem yang dilakukan oleh aktiviti manusia.  Di peringkat antarabangsa beberapa deklarasi mengenai alam sekitar telah pun dilaksanakan oleh UNDP untuk memastikan pembangunan yang lestari. Deklarasi Reo De Janerio (1993) dan Protokol Kyoto (1997) merupakan antara dua deklarasi di mana Malaysia turut menandatanganinya. Malaysia sendiri  telah mengadakan Deklarasi Langkawi untuk memastikan pembangunan negara secara lestari dan mesra alam.  Untuk mengatasi semua ini alam sekitar perlu ditadbir urus melalui kaedah dan pendekatan yang lebih seimbang dan menyeluruh. Pembangunan insan yang berteraskan kepada kehidupan yang berteraskan nilai-nilai murni agama, bertanggungjawab dengan alam, membangun alam secara terancang perlulah diberi penekanan yang bersungguh-sungguh. Pembangunan sains dan teknologi yang berteraskan kepada ajaran agama dan nilai budaya perlu diterapkan kepada seluruh peringkat masyarakat. Penyelidikan dan pemantauan terhadap alam tabii perlu dilakukan secara berterusan agar pembangunan yang dijalankan tidak mendatangkan risiko yang tinggi kepada kehidupan sejagat.  Adalah menjadi pendekatan Islam Hadhari agar kehidupan manusia menjadi harmoni dengan alam sekitar di sekitarnya disamping berusaha untuk terus maju. 

x. KEKUATAN PERTAHANAN

Islam Hadhari melihat pertahanan bukan sahaja isu-isu yang meliputi kekuatan  ketenteraan dan persenjataan, malah ia merangkumi kekuatan diri, fizikal dan spiritual. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t dalam al-Quran surah al-Anfal: 60,
Terjemahan: Dan sediakanlah untuk menentang mereka  (musuh Yang  menceroboh) Segala jenis kekuatan Yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda Yang lengkap sedia, untuk menggerunkan Dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh Yang lain dari mereka Yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja Yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. (surah al Anfal:60).
Bangsa yang maju memerlukan umat yang dapat mempertahankan diri dan negara dari dicerobohi. Untuk itu mereka perlu memiliki kekuatan ketenteraan yang terkini bagi tujuan mempertahankan diri dan negara dan bukan untuk menyerang dan menguasai bangsa lain. 
Kekuatan pertahanan akan menjamin kestabilan, keamanan dan keselamatan negara  yang membolehkan proses pembangunan dilakukan secara berterusan.  Perubahan snasana politik dunia global masa kini dan tekanan serta penghinaan yang dihadapi oleh sebahagian umat manusia menuntut kita menguasai kekuatan ketenteraan dan keupayaan mempertahankan diri. Negara perlu diperlengkapkan dengan rancangan serta program jangka panjang untuk menyemai rasa hak dan tanggungjawab membela kemuliaan maruah diri, bangsa dan negara. Pendekatan Islam Hadhari akan berusaha memperkasakan umat supaya mereka berupaya menghadapi cabaran dunia semasa.

 
PENUTUP .

Usaha Kerajaan memperkenalkan Islam Hadhari dalam arus pembangunan perdana  negara amat tepat pada masanya ketika umat Islam sedang menghadapi perubahan sama ada dari segi politik, ekonomi, pendidikan, kemajuan sains, teknologi dan lain-lain. Usaha yang konsisten hingga menghasilkan kejayaan yang berterusan perlu dirancang. Segala bentuk pemikiran yang mengelirukan dan bercanggah dengan Islam perlu diperbetulkan supaya pemikiran dan jati diri masyarakat dapat dibentuk. Dengan pelaksanaan Islam Hadhari di Malaysia akan membuka minda masyarakat Islam tentang tujuan hidup yang sebenar dan sama-sama memahami hala tuju kepimpinan negara ke arah membangun ummah dan negara dengan cemerlang, gemilang dan terbilang yang diredhai Allah s.w.t. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah: 201,
Maksudnya: “dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “wahai
Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami
dari azab api neraka”.




.....Aryyzazueriey...


0 comments: